RM10,000 Untuk PIBG SK Bokah, Perkukuh Pembangunan Pendidikan Murid
LUNDU: Usaha memperkukuh pembangunan pendidikan dan potensi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bokah terus mendapat sokongan menerusi peruntukan RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.
Peruntukan tersebut diumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang sempena Malam Seribu Kenangan PIBG SK Bokah pada Sabtu.
Dalam pada itu, Billy menegaskan komitmennya untuk terus membantu PIBG SK Bokah dalam mendapatkan dana bagi menyokong keperluan pendidikan sekolah berkenaan.
Beliau turut menekankan kepentingan memperhebatkan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memberikan pendedahan serta melengkapkan murid dengan kemahiran yang relevan dengan perkembangan semasa.
Yang Dipertua PIBG SK Bokah, Afif Johan pula berkata, usaha mengumpul dana penting bagi membantu menampung pelbagai keperluan sekolah termasuk menyokong penyertaan murid dalam aktiviti sukan dan pertandingan.
Beliau turut berharap lebih banyak pihak tampil memberikan sumbangan bagi membantu sekolah menyediakan peluang pembangunan yang lebih luas kepada murid.
Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Bokah, Suanna Joseph Roni berkata, hasil kutipan menerusi program berkenaan akan dimanfaatkan bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan murid.-EDISI UKAS