BAU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memainkan peranan penting sebagai penggerak pembangunan di peringkat akar umbi, selain menjadi penghubung antara masyarakat setempat dengan agensi serta pihak berkaitan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, peranan itu penting dalam memastikan keperluan masyarakat dapat disampaikan dan diberi perhatian, sekali gus menyokong usaha meningkatkan kesejahteraan penduduk.
Sehubungan itu, beliau merakamkan tahniah dan penghargaan kepada seluruh barisan JKKK Kampung Stom Muda sesi 2025/2026 atas khidmat bakti, komitmen serta tanggungjawab yang dilaksanakan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Beliau turut berharap semangat kerjasama dan komitmen terhadap pembangunan komuniti dapat diteruskan bagi memastikan kemajuan serta kesejahteraan penduduk Kampung Stom Muda terus diperkasakan.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Apresiasi JKKK Kampung Stom Muda yang berlangsung di Madih Cafe, Bau pada Sabtu.
Majlis berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan kepada barisan JKKK sesi 2025/2026 yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatan pada penghujung tahun ini.
Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Stom Muda, Nelon Bagus turut merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli JKKK atas komitmen dan kerjasama dalam membantu pengurusan serta pentadbiran kampung sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Menurut beliau, semangat kerjasama yang ditunjukkan barisan JKKK memainkan peranan penting dalam memastikan keperluan pembangunan dan kesejahteraan penduduk kampung terus diberi perhatian.-EDISI UKAS