SKS Betong Briskwalk Galak Gaya Hidup Sihat, Erat Silaturahim Komuniti
BETONG: Program SKS Betong Briskwalk menjadi antara pengisian Program Sarawakku Sayang (SKS) Peringkat Bahagian Betong 2026 dalam menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat.
Program anjuran Pejabat Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Bahagian Betong itu berlangsung di Perkarangan Kompleks Sukan Betong, pagi tadi.
Briskwalk sejauh 3.5 kilometer itu bermula dan berakhir di Perkarangan Kompleks Sukan Betong dengan laluan mengelilingi kawasan Pasar Betong.
Turut menyertai aktiviti berkenaan ialah Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas bersama isteri Datin Marilyn Tida serta Timbalan Residen Bahagian Betong Mohamad Nizam Wang.
Selain Briskwalk, program turut dimeriahkan dengan aktiviti senamrobik dan aerodance yang berlangsung di Pentas Utama SKS Betong.
Pengisian berkenaan memberi peluang kepada masyarakat setempat menyertai aktiviti riadah secara santai, di samping memupuk kesedaran terhadap kepentingan menjaga kesihatan dan kecergasan diri.
Program diakhiri dengan sesi penyampaian medal kepada peserta Briskwalk sebagai penghargaan atas penyertaan mereka.-EDISI UKAS