BETONG: Seramai 2,000 pengunjung memeriahkan hari kedua Program Sarawakku Sayang (SKS) Peringkat Bahagian Betong menerusi sesi Cabutan Hadiah E-Peraduan di Khemah Sarawak, Pavilion & Services, Kompleks Sukan Betong, di sini, pada Sabtu.
Sebanyak 51 hadiah disediakan untuk dimenangi, termasuk motosikal Yamaha Ego Avantiz bernilai RM6,900 sebagai hadiah utama, selain barangan elektronik, peralatan rumah, basikal, tablet dan Gold Bar.
Cabutan hadiah sesi pertama disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah, manakala sesi kedua disempurnakan oleh ADUN Kabong, Dato Mohd Chee Kadir.
Qavi Iqbal Roslan muncul pemenang hadiah utama berupa motosikal Yamaha Ego Avantiz menerusi cabutan tersebut.
Selain cabutan hadiah, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti sepanjang program, antaranya Tarik Tali, Wall Climbing, Klinik Tinju, Memanah dan Street Soccer.
Di Betong Kitchen & Sales, pelbagai aktiviti turut disediakan termasuk Jigsaw Puzzles Challenge, demonstrasi anyaman bunga dan Karaoke Berantai, selain jualan oleh peniaga tempatan.
Program SKS Peringkat Bahagian Betong diteruskan pada Ahad dengan Majlis Penangguhan serta pengumuman pemenang hadiah utama e-peraduan berupa sebuah Perodua Bezza 1.3 di Kompleks Sukan Betong.- EDISI UKAS