MIRI: Kira-kira 2,000 peserta memeriahkan Jom Heboh Fun Run 2026 ‘Lari Baik-Baik’ di Boulevard, di sini pada Ahad.
Acara anjuran Media Prima Berhad dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai rakan strategik itu melibatkan dua kategori, dengan peserta 8 kilometer (KM) dilepaskan pada jam 6.30 pagi, diikuti peserta 5KM pada jam 6.45 pagi.
Peserta pelbagai peringkat umur, termasuk keluarga dan kumpulan rakan, menceriakan suasana di sekitar Miri Boulevard.
Jom Heboh Fun Run merupakan antara pengisian hari terakhir Karnival Jom Heboh (KJH) Segulai Sejalai Sarawak 2026 yang berlangsung dari 25 hingga 27 September.
Karnival itu dianjurkan menerusi kerjasama strategik antara Media Prima Berhad dan Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).
Selain larian, karnival dimeriahkan dengan konsert, persembahan etnik, pesta makanan dan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga.
Penganjuran kali ini turut menandakan kembalinya Karnival Jom Heboh ke Miri selepas kali terakhir diadakan di bandar raya ini pada 2007. -EDISI UKAS