CH Hornsea Grandioso Bawa Nama Sarawak Ke Pentas Muzik Kebangsaan
MIRI: Sebanyak 22 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua Miri bakal membawa nama Sarawak ke pentas kebangsaan apabila kumpulan ‘CH Hornsea Grandioso’ membuat penampilan sulung dalam pertandingan muzik peringkat kebangsaan di Terengganu.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, penyertaan tersebut merupakan pencapaian bermakna bagi kumpulan yang ditubuhkan hasil pengembangan daripada SMK Chung Hua Miri Marching Band (CHMMB).
Beliau berkata, peluang beraksi di pentas kebangsaan bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada para pelajar, malah membuka ruang untuk mereka mengetengahkan bakat serta membawa nama Sarawak dalam bidang muzik.
“Saya berbangga dan teruja melihat kumpulan ini diberi peluang membuat penampilan sulung dalam pertandingan peringkat kebangsaan sekali gus membawa nama Sarawak ke pentas berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menghantar kumpulan CH Hornsea Grandioso di Lapangan Terbang Miri, di sini pada Ahad.
Hornsea Grandioso yang dianggotai pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat itu akan mewakili Sarawak dalam Pertandingan Jaz Orchestra Generasi Madani Perpaduan Peringkat Kebangsaan di Dewan Konvensyen TTI, Terengganu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau itu lagi, penyertaan tersebut mencerminkan potensi golongan muda dalam bidang muzik, selain membuktikan bahawa bakat pelajar tempatan mampu berkembang sehingga ke peringkat kebangsaan apabila diberikan ruang dan sokongan sewajarnya.
Beliau turut menitipkan ucapan selamat kepada para pelajar, guru serta ibu bapa yang mengiringi perjalanan berkenaan dan berharap segala urusan mereka dipermudahkan.
“Saya berharap para peserta dapat menikmati setiap detik persembahan, memberikan yang terbaik di pentas kebangsaan serta membawa pulang pengalaman dan kenangan yang berharga,” katanya. -EDISI UKAS