Kesatuan, Kerjasama Wanita PPWKS Zon 1 Asajaya Perlu Terus Diperkukuh
ASAJAYA: Kesatuan dan kerjasama dalam kalangan wanita di tujuh cawangan Persatuan Pergerakan Wanita Sarawak (PPWKS) di Zon 1 Asajaya perlu terus diperkukuh bagi memastikan gerak kerja kemasyarakatan dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang berkata, kekuatan sesebuah organisasi bergantung kepada keupayaan anggotanya untuk saling menyokong, menghormati perbezaan pandangan dan mengutamakan hubungan baik dalam melaksanakan tanggungjawab bersama.
Menurut beliau, kesatuan tidak bermaksud semua anggota perlu mempunyai pandangan yang sama, sebaliknya perbezaan perlu diurus secara matang tanpa menjejaskan hubungan dan kerjasama dalam organisasi.
“Kesatuan bukan bermaksud kita tidak boleh berbeza pandangan. Kesatuan bermaksud kita tahu menguruskan perbezaan tanpa merosakkan hubungan sesama sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Hari Keluarga Wanita Asajaya di Dewan Masyarakat Kampung Beliong, di sini, pada Ahad.
Datuk Rubiah turut menekankan peranan wanita sebagai antara penggerak penting dalam aktiviti kemasyarakatan, selain sumbangan mereka yang wajar dihargai dalam memperkukuh hubungan serta kebajikan komuniti.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan anggota supaya lebih berhemah dalam menerima dan berkongsi maklumat menerusi media sosial, termasuk kandungan yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI), dengan memastikan kesahihan maklumat terlebih dahulu.
Program anjuran PPWKS dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Wanita Cawangan Asajaya itu menghimpunkan tujuh cawangan Zon 1 Asajaya iaitu Tambay, Sri Tajo, Tanjung Apong, Beliong, Tambirat Tradisi, Tambirat Lot dan Sambir.
Pengisian program turut diserikan dengan aktiviti senaman, memasak dan sukaneka yang menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan serta menggalakkan interaksi dalam kalangan anggota tujuh cawangan.-EDISI UKAS