BINTULU: Suasana pagi di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu pada Ahad meriah dengan kehadiran penduduk setempat yang menyertai Sarawak Agrofest Fun Run 2026.
Seawal 6.30 pagi, peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat mula memenuhi lokasi untuk menyertai larian santai sejauh lima kilometer dalam suasana ceria dan penuh semangat.
Acara pelepasan peserta disempurnakan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming dan ADUN Jepak Iskandar Turkee.
Larian itu bukan sekadar menghidupkan suasana Sarawak Agrofest (SAF) 2026, malah menjadi ruang untuk komuniti beriadah, berinteraksi dan menikmati masa bersama dalam suasana santai.
SAF 2026 berlangsung dari 25 September hingga 4 Oktober di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu, dengan pelbagai aktiviti berkaitan sektor pertanian dan industri agro. -EDISI UKAS