Gerakan Massa Perkasa Masyarakat Desa Hadapi Cabaran Semasa
LIMBANG: Pendekatan gerakan massa terus diperkasa sebagai platform memperkukuh keupayaan masyarakat luar bandar agar lebih berdaya saing dan berdaya tahan dalam menghadapi perubahan sosioekonomi serta transformasi digital.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah berkata, pendekatan berkenaan perlu dilaksanakan secara berterusan dengan penglibatan aktif masyarakat bagi memastikan pembangunan di kawasan desa tidak hanya bergantung kepada penyediaan infrastruktur, tetapi turut disokong pengukuhan modal insan.
“Pendekatan ini penting bagi melahirkan modal insan luar bandar yang berdaya saing serta mempunyai daya tahan dalam mendepani cabaran semasa termasuk pasca pandemik dan transformasi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA@KKDW) Tahun 2026 Peringkat Parlimen Limbang, di sini, pada Sabtu.
Menurut Datuk Hasbi, konsep gerakan massa menuntut penglibatan masyarakat dalam membina kesedaran dan melaksanakan tindakan secara bersama, sekali gus memastikan agenda pembangunan dapat diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai di peringkat akar umbi.
Katanya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) turut berperanan sebagai penghubung antara dasar kerajaan dengan keperluan masyarakat menerusi pelbagai inisiatif pembangunan komuniti.
“Peranan ini dilaksanakan melalui pendidikan awal kanak-kanak, latihan kemahiran dan program pembangunan komuniti yang dapat membantu memperkukuh kapasiti masyarakat luar bandar,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat di Parlimen Limbang memanfaatkan peluang yang tersedia, khususnya dalam bidang keusahawanan desa, kemahiran digital dan pengukuhan institusi keluarga bagi meningkatkan keupayaan serta kualiti hidup komuniti.
“Jangan sekadar menjadi penonton kepada arus pembangunan, sebaliknya jadilah penggerak utama dalam mencorakkan kemajuan kawasan sendiri,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menekankan bahawa pembangunan fizikal seperti infrastruktur dan keterhubungan perlu bergerak seiring dengan pembangunan modal insan bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.
Menurutnya, keberkesanan sesuatu perancangan pembangunan akhirnya bergantung kepada tahap penyertaan masyarakat serta kerjasama berterusan antara kerajaan, agensi pelaksana dan komuniti setempat.