Hari Cuci Malaysia Cetus Budaya Kebersihan Sebagai Tanggungjawab Bersama
MIRI: Usaha memastikan kebersihan Bandaraya Miri terus terpelihara perlu beralih daripada kempen dan aktiviti pembersihan bermusim kepada amalan harian yang menjadi tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, Hari Cuci Malaysia 2026 bukan sekadar program gotong-royong, sebaliknya menjadi wadah untuk memperkukuh kesedaran sivik serta menggalakkan penglibatan bersama dalam menjaga kebersihan persekitaran bandar.
“Usaha menjaga kebersihan bandar merupakan tanggungjawab bersama antara pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, komuniti perniagaan, sektor swasta dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hari Cuci Malaysia 2026 di Medan Saberkas, di sini pada Sabtu.
Menurut Adam, penglibatan pelbagai pihak dalam aktiviti pembersihan di Medan Saberkas serta kawasan komersial sekitar Saberkas dan Bulatan mencerminkan komitmen bersama untuk mewujudkan persekitaran bandar yang lebih bersih, sihat dan selesa.
“Tanggungjawab tersebut tidak seharusnya berakhir selepas program pembersihan selesai, sebaliknya diteruskan menerusi amalan harian termasuk memastikan kebersihan di rumah, premis perniagaan, pejabat, sekolah dan kawasan kejiranan masing-masing,” tegasnya lagi.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak membuang sampah merata-rata, melaporkan kegiatan pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab serta memastikan premis perniagaan dan kawasan sekitar sentiasa berada dalam keadaan bersih.
“Setiap tindakan kecil yang dilakukan secara bersama mampu menghasilkan perubahan yang besar dan berpanjangan kepada bandar,” ujarnya. -EDISI UKAS