TPM Suntik RM50,000 Bagi Memeriahkan Regatta Subis@Niah 2026
NIAH: Penganjuran Regatta Subis @ Niah 2026 menerima suntikan RM50,000 daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, bagi menyokong kelancaran program yang menghimpunkan masyarakat setempat di Waterfront Sepupok Niah.
Sumbangan tersebut diumumkan menerusi rakaman khas ucapan perasmian Timbalan Perdana Menteri yang ditayangkan pada Majlis Perasmian Regatta Subis @ Niah 2026 di Pentas Waterfront Sepupok Niah, di sini pada Khamis.
Regatta Subis @ Niah 2026 dianjurkan bagi menyemarakkan aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan setempat, selain menyediakan ruang kepada penduduk serta pengunjung untuk bersama-sama meraikan kepelbagaian warisan dan tradisi masyarakat di kawasan Subis.
Program berkenaan turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, agensi kerajaan dan komuniti setempat dalam memastikan penganjurannya dapat memberi manfaat kepada masyarakat serta merancakkan aktiviti di kawasan Niah.
Turut hadir, Timbalan Menteri Luar merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus, Residen Bahagian Miri Galong Luang, Pegawai Daerah Subis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Regatta Subis @ Niah Ashard Samshu dan wakil Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Ukar Kelayang. -EDISI UKAS