Perayaan Kuih Bulan Perkukuh Silaturahim Komuniti Miri
MIRI: Sambutan Perayaan Kuih Bulan bukan sahaja mengekalkan warisan budaya masyarakat Cina, malah menjadi wadah memperkukuh silaturahim dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, tradisi berkenaan turut mencerminkan nilai kesatuan dan kemakmuran yang dikongsi bersama masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Perayaan Kuih Bulan bukan sekadar satu tradisi kebudayaan masyarakat Cina, tetapi turut menjadi simbol kesatuan, kemakmuran dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Sarawak,” katanya ketika menghadiri Perayaan Kuih Bulan 2026, di sini pada Sabtu.
Menurut Datuk Sebastian, usaha menganjurkan sambutan seperti itu wajar diteruskan kerana mampu menyediakan ruang untuk mengeratkan hubungan sesama ahli persatuan serta masyarakat yang hadir.
Beliau turut menghargai komitmen Miri Hash House Harriers yang telah ditubuhkan sejak 1973 dalam mengekalkan hubungan dan semangat kebersamaan dalam kalangan ahlinya.
Katanya, penganjuran Mid-Autumn Festival Hash Party bukan sahaja meraikan tradisi masyarakat Cina, malah memperlihatkan semangat kebersamaan yang selari dengan aspirasi Segulai Sejalai. -EDISI UKAS