Jom Heboh Miri Tarik Pelancongan, Tingkatkan Ekonomi Tempatan
MIRI: Karnival Jom Heboh Sarawak Segulai Sejalai 2026 di Miri bukan sekadar acara hiburan, malah berperanan sebagai platform memperkukuh sektor pelancongan serta merancakkan aktiviti ekonomi tempatan menerusi kehadiran pengunjung dari dalam dan luar Sarawak.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, penganjuran karnival selama tiga hari itu berjaya menghimpunkan masyarakat serta mengetengahkan kepelbagaian budaya dan bakat tempatan kepada khalayak lebih luas.
Beliau berkata, pengisian bertemakan ‘Segulai Sejalai’ yang membawa maksud bersama-sama dan bersatu hati turut memperlihatkan semangat perpaduan serta keharmonian dalam kalangan warga Miri dan pengunjung.
“Karnival ini telah menjadi pemangkin penting dalam memajukan sektor pelancongan negeri di mana melalui penganjuran acara berprestij ini, kita bukan sahaja berjaya menarik kehadiran puluhan ribu pengunjung dari dalam dan luar negeri, malah memberi ruang untuk memperkenalkan keunikan produk tempatan serta keindahan budaya Sarawak ke persada yang lebih luas,” katanya ketika berucap pada karnival tersebut, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Sebastian berkata penyertaan usahawan tempatan menerusi gerai jualan sepanjang karnival menunjukkan acara sebegitu turut memberi limpahan ekonomi secara langsung kepada komuniti setempat.
Katanya, sambutan menggalakkan daripada pengunjung terhadap produk yang ditawarkan membuktikan platform seperti Jom Heboh mampu membantu mengembangkan perniagaan berskala mikro, menjana pendapatan serta membuka ruang lebih luas kepada usahawan tempatan memasarkan produk mereka.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Media Prima Berhad, agensi kerajaan, rakan media serta jawatankuasa penganjur atas kerjasama memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang karnival berlangsung.
“Walaupun tirai karnival ini bakal dilabuhkan, marilah kita terus membawa semangat kebersamaan ini dalam kehidupan seharian kita,” katanya. -EDISI UKAS