3,598 Kes Khidmat Rakyat Ditangani Pusat Khidmat Masyarakat Pujut
MIRI: Sebanyak 3,598 kes melibatkan keperluan masyarakat telah dikendalikan Pusat Khidmat Masyarakat Pujut dalam tempoh lima tahun lalu, merangkumi bantuan kebajikan, perubatan, pendidikan serta isu kemudahan asas dan infrastruktur.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, jumlah tersebut mencerminkan komitmen pusat khidmat masyarakat bersama pasukannya dalam memastikan setiap keperluan penduduk diberikan perhatian dan tindakan sewajarnya.
“Pusat khidmat masyarakat kita telah mengendalikan sebanyak 3,598 kes perkhidmatan, meliputi bantuan kebajikan, bantuan perubatan, sokongan pendidikan, bekalan air dan elektrik, selain aduan berkaitan saliran serta jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program ‘Mid Autumn Festival’ Pujut, di sini pada Sabtu.
Menurut Adam, selain pengendalian kes perkhidmatan, sebanyak 337 rumah yang mengalami kerosakan turut dibaik pulih, memberi manfaat kepada 1,340 penduduk, manakala bantuan pendidikan disalurkan kepada 351 pelajar bagi membantu meringankan beban keluarga.
Dalam bidang pendidikan, sebanyak 56 projek penambahbaikan sekolah turut dilaksanakan, selain 14 projek taman komuniti serta 59 projek dewan orang ramai, kemudahan komuniti dan rumah ibadat bagi meningkatkan keselesaan penduduk.
Beliau berkata, sebanyak 3,115 lampu jalan LED cekap tenaga turut dipasang di kawasan berkenaan, yang membantu menjimatkan sehingga 50 peratus kos elektrik selain meningkatkan keselamatan penduduk pada waktu malam.
“Setiap angka dan pencapaian ini mencerminkan komitmen serta tanggungjawab kita kepada masyarakat, dengan usaha berterusan untuk menjadikan Miri dan khususnya kawasan Pujut sebagai komuniti yang lebih selesa, selamat dan harmoni,” ujarnya. -EDISI UKAS