Pendidikan Laluan Tingkat Taraf Sosioekonomi Keluarga
SELANGAU: Pendidikan tinggi dan pemilihan bidang pengajian yang mempunyai prospek pekerjaan perlu diberi keutamaan bagi memastikan anak-anak Sarawak mampu merebut peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta membantu meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak meneruskan pendidikan sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT), termasuk dalam bidang yang sejajar dengan keperluan tenaga kerja masa depan.
Beliau berkata bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) antara bidang yang wajar diberi perhatian susulan perkembangan sektor industri di Sarawak yang menawarkan peluang kerjaya dalam pelbagai bidang berkemahiran.
“Sarawak menuju negeri maju dan berpendapatan tinggi. Pastikan tiada anak-anak yang tercicir dalam pelajaran kerana dengan mempunyai pendidikan boleh meningkatkan tahap ekonomi keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena perasmian Projek Penutapan Tempat Letak Kereta JKKK Rumah Bigat di Rumah Bigat Anak Tanggai, Ulu Arip, di sini pada Sabtu.
Menurut Dato Sri John, perkembangan sektor perindustrian di Sarawak turut membuka ruang kerjaya yang lebih luas kepada anak-anak tempatan, termasuk di kawasan perindustrian Samalaju dan Kidurong, Bintulu.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus itu menyeru ibu bapa agar memberi perhatian terhadap pendidikan anak-anak dan membantu mereka membuat pilihan bidang pengajian yang dapat meningkatkan peluang mendapatkan pekerjaan pada masa hadapan.
Pada majlis sama, beliau turut meluluskan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM35,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), selain RM5,000 kepada Biro Wanita Rumah Bigat. -EDISI UKAS