Perbezaan Pandangan Perlu Diurus Secara Rasional Demi Kepentingan Bersama
MIRI: Perbezaan pandangan dalam kalangan persatuan perlu diurus secara rasional dan berlandaskan sikap saling menghormati bagi memastikan kepentingan bersama terus menjadi keutamaan dalam masyarakat majmuk.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, perbezaan pandangan merupakan perkara yang lazim dalam sesebuah masyarakat, namun ia tidak seharusnya menjejaskan usaha membina persefahaman dan kerjasama.
Menurutnya, komunikasi yang terbuka dan rasional penting bagi memastikan pelbagai pandangan dapat disatukan kepada pendekatan yang memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan.
“Perbezaan pandangan dalam kalangan persatuan merupakan perkara biasa dalam masyarakat majmuk, namun perpaduan perlu dibina berasaskan sikap saling menghormati, komunikasi rasional dan kepentingan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Miri, di sini pada Ahad.
Tegas beliau lagi, sebagai badan gabungan, Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Miri mempunyai peranan penting menyatukan kekuatan pelbagai persatuan dalam menangani isu berkaitan pendidikan, kebudayaan, pembangunan belia, kebajikan masyarakat dan kepentingan bersama.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu menambah, masyarakat Cina Miri mempunyai sejarah panjang dalam menyumbang kepada pembangunan bandar berkenaan menerusi bidang perdagangan, pendidikan, perniagaan, profesional, kebudayaan, kebajikan dan pembangunan komuniti.
Katanya, perkembangan infrastruktur termasuk rangkaian pengangkutan darat, laut dan udara pula membuka peluang baharu dalam sektor perniagaan, logistik, pelancongan, pendidikan, perubatan dan perkhidmatan profesional.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan masyarakat terus meningkatkan keupayaan dan merebut peluang dalam bidang baharu termasuk ekonomi digital, teknologi, kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau, pelancongan serta pembangunan bakat.
Hadir sama, Pengerusi Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Miri, James Hii Sing Lung dan Pengerusi Persidangan Mesyuarat, Dato Sri Law Kiu Kiong. -EDISI UKAS