Pedun Likew Igen Kubu Edisi Ketiga Himpun 400 Warga Igan Di Sibu
SIBU: Kira-kira 400 warga Igan yang menetap di Sibu dan kawasan sekitarnya berhimpun dalam Pedun Likew Igen Kubu Edisi Ketiga yang berlangsung di Tanahmas Hotel, Sibu.
Majlis yang menghimpunkan keluarga besar Igan di perantauan itu telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
Penganjuran edisi ketiga ini menjadi wadah mempertemukan warga Igan yang menetap dan mencari rezeki di Sibu, sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan, persaudaraan dan silaturahim sesama mereka.
Dalam ucapannya, Ahmad Johnie menyeru warga Igan di perantauan supaya terus memelihara hubungan kekeluargaan dan tidak melupakan asal-usul serta kampung halaman walaupun telah membina kehidupan di tempat lain.
Beliau turut berharap penganjuran Pedun Likew Igen Kubu dapat diteruskan sebagai platform menyatukan warga Igan di perantauan serta menghubungkan generasi muda dengan keluarga dan asal-usul mereka.
“Walau sejauh mana kita merantau, Igan tetap dekat di hati. Di mana pun kita berada, kita tetap satu keluarga,” katanya. - EDISI UKAS