Sarawak Kemuka Cadangan Pelaburan & Industri Untuk Belanjawan 2027
KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak mengemukakan beberapa cadangan berkaitan pelaburan dan pembangunan industri untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan Persekutuan 2027, khususnya melibatkan insentif pelaburan, industri strategik serta infrastruktur perindustrian.
Perkara itu antara fokus perbincangan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, di sini pada Isnin.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob.
Menurut kenyataan media, perbincangan itu turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan dalam menarik pelaburan berkualiti dan bernilai tinggi, meningkatkan daya saing industri serta menyokong pembangunan ekonomi jangka panjang Sarawak.
Kedua-dua pihak turut membincangkan peluang memperluas industri bernilai tinggi dan baharu termasuk pembuatan termaju, semikonduktor, ekonomi digital, tenaga bersih serta aktiviti hiliran dan berteraskan teknologi.
Dalam pada itu, kepentingan menyediakan insentif, infrastruktur, bakat dan ekosistem pelaburan yang bersesuaian turut diberi perhatian bagi menyokong kemasukan pelaburan baharu serta pengembangan industri sedia ada.
Jelas kenyataan itu lagi, Kerajaan Sarawak memberi keutamaan berkenaan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan agenda pelaburan serta perindustrian Malaysia, khususnya dalam mewujudkan pekerjaan berkualiti, membangunkan bakat tempatan, memperkukuh perniagaan tempatan serta menggalakkan teknologi dan inovasi.
Kedua-dua kerajaan turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam memudah cara pelaburan strategik, memperkasa pembangunan industri dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada Sarawak serta Malaysia.
Datuk Amar Awang Tengah turut diiringi Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Dato Sri Mohd Naroden Majais, Setiausaha Tetap MINTRED, Datu Lester Matthew serta pegawai kanan MINTRED. -EDISI UKAS