LIMBANG: Pesta Hari Bukit Mas 2026 menyasarkan kehadiran 30,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjurannya, sekali gus menjadi platform untuk mempromosikan produk pelancongan tempatan serta merancakkan aktiviti ekonomi masyarakat setempat.
Pengerusi Majlis Daerah Limbang, Kr. Sufian Mohat berkata, pesta berkenaan akan berlangsung dari 7 hingga 11 Oktober ini di kawasan Panggung Tebingan Sungai Limbang atau Waterfront Limbang.
Menurutnya, pelbagai pengisian telah dirangka merangkumi aktiviti jualan, persembahan pentas, pertandingan serta pelbagai program komuniti yang sesuai untuk pengunjung daripada pelbagai peringkat umur.
“Program ini akan bermula dengan aktiviti jualan oleh pihak Pesta Ria Limbang dari pagi hingga malam yang menawarkan pelbagai juadah dan minuman seumpama food fest, selain acara pementasan,” katanya semasa sidang media Pesta Hari Bukit bersama pihak UKAS, pada Isnin.
Tambahnya, pada 8 Oktober akan diadakan Forum Perdana dan pada 9 Oktober pertandingan Mr. Wonderful dan Bodybuilder yang melibatkan penyertaan dari Limbang, seluruh Sarawak, Brunei, Sabah, Labuan serta beberapa wakil dari semenanjung Malaysia.
“Pada hari Sabtu, majlis perasmian dijangka disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, selain penyampaian penghargaan kepada rakan-rakan strategik,” ujarnya.
Tambah beliau, Malam Kebudayaan akan menampilkan persembahan pelbagai etnik seperti Iban, Bisaya, Melayu, Kedayan dan Cina, selain pertandingan akhir Piala Walikota serta persembahan artis jemputan termasuk Shidi Data, Haqiem Rusli dan kumpulan Kristal.
Dalam pada itu, katanya, acara International Fun Run Bukit Mas pada Ahad telah menarik lebih 500 penyertaan dari dalam dan luar Sarawak, termasuk Brunei, Sabah dan Labuan, selain itu pertandingan memancing antarabangsa di sepanjang Tebingan Sungai Limbang, Pertandingan Perahu Berhias, Pertandingan Tarik Tali, Pertandingan Mewarna dan Pertandingan Masakan.
Beliau turut memaklumkan persiapan kini mencapai kira-kira 75 peratus dengan mesyuarat akhir bersama agensi pada 1 Oktober ini, dan berharap orang ramai hadir serta membantu mempromosikan penganjuran tersebut.
Hadir sama Setiausaha Majlis Daerah Limbang, Michelle Hildalyne Jering Anthony Luta, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Limbang, Kr. Adison Langgar Injan serta Ahli-ahli Majlis Daerah Limbang.-EDISI UKAS