LAWAS: Sambutan Perayaan Kuih Bulan Lawas 2026 berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti kebudayaan dan pertandingan yang menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana penuh keceriaan.
Dianjurkan oleh Persatuan Kebudayaan Cina Lawas, program yang berlangsung di Taman Awam Lawas pada Sabtu itu mengetengahkan pengisian yang dekat dengan tradisi masyarakat Cina serta melibatkan penyertaan kanak-kanak dan komuniti.
Antara pengisian utama ialah pertandingan mewarna kanak-kanak dan pertandingan kaligrafi yang memberi ruang kepada peserta memperlihatkan kreativiti serta minat terhadap seni tradisional.
Turut diadakan pertandingan gubahan buah-buahan dan sayur-sayuran yang menguji kreativiti peserta dalam menghasilkan gubahan menarik berasaskan bahan semula jadi.
Suasana program turut dimeriahkan dengan persembahan tarian singa oleh Persatuan Kebudayaan Cina Lawas yang menghidupkan lagi elemen tradisi dalam sambutan tersebut.
Penganjuran aktiviti berkenaan turut memberi peluang kepada generasi muda mengenali dan menghayati warisan budaya melalui pendekatan yang lebih santai, interaktif dan menyeronokkan.
Selain memeriahkan sambutan Perayaan Kuih Bulan, program itu menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan masyarakat melalui penglibatan bersama dalam aktiviti kebudayaan dan kemasyarakatan.-EDISI UKAS