SJK(C) Chung Hua Krokop Raih 80 Tahun, Kukuh Tradisi Seiring Kemajuan Teknologi
MIRI: Sambutan ulang tahun ke-80 SJK(C) Chung Hua Krokop menjadi manifestasi kesinambungan tradisi pendidikan Cina yang terus diperkukuh seiring penerapan teknologi moden dan inovasi bagi menghadapi cabaran masa depan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata institusi pendidikan tersebut perlu terus mengekalkan nilai dan budaya sambil mengadaptasi bidang STEM, pengaturcaraan serta teknologi pintar.
Menurut beliau, ulang tahun ke-80 bukan sekadar mengenang sejarah, malah menjadi titik permulaan baharu dalam memperkasa sistem pendidikan yang relevan dengan keperluan semasa.
“Perkembangan dalam STEM, inovasi dan penggunaan teknologi pintar membuktikan sekolah ini terus bergerak seiring perubahan zaman,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-80 SJK(C) Chung Hua Krokop di Imperial Hotel Miri, pada Ahad.
Beliau menambah, dalam era kecerdasan buatan (AI) dan automasi, pelajar bukan sahaja perlu cemerlang akademik tetapi turut memiliki kemahiran berfikir, menyelesaikan masalah, berkomunikasi serta menyesuaikan diri.
“Teknologi dan AI boleh membantu, namun tidak mampu menggantikan nilai, kreativiti dan tanggungjawab manusia,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan sekolah, guru, ibu bapa, alumni dan masyarakat atas sumbangan berterusan dalam pembangunan sekolah sepanjang lapan dekad.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkasakan pendidikan melalui peluasan peluang pendidikan tinggi serta bantuan pendidikan bagi meringankan beban keluarga.
Sementara itu, Guru Besar SJK(C) Chung Hua Krokop, Peggy Tang berkata, sambutan tersebut menjadi titik tolak untuk terus mengembangkan pendidikan yang selari dengan perkembangan teknologi.
Menurutnya, pelajar perlu dibentuk bukan sahaja sebagai pengguna teknologi, tetapi juga sebagai pencipta dan inovator dalam bidang seperti AI, robotik dan automasi.
Beliau turut memaklumkan kejayaan pasukan sekolah meraih Naib Johan kategori Robomission Pro (Sekolah Rendah), sekali gus melayakkan mereka mewakili Malaysia ke World Robot Olympiad (WRO) World Final.
Sambutan ulang tahun ke-80 ini mencerminkan keupayaan SJK(C) Chung Hua Krokop mengekalkan identiti pendidikan sambil melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan bersedia menghadapi masa depan.-EDISI UKAS