Puteri Bunian Dinobatkan Raja Sungai Regatta Subis @ Niah 2026
BATU NIAH: Pasukan Puteri Bunian muncul juara acara kemuncak Raja Sungai dalam Regatta Subis @ Niah 2026 sekali gus membawa pulang hadiah utama RM12,000 selepas mengungguli kategori 30 Pekayuh Lelaki Terbuka yang berlangsung di Waterfront Sepupok Niah, pada Ahad.
Kejayaan tersebut menyaksikan pasukan La Nina muncul naib juara dengan hadiah RM6,000, manakala Pangkalan Bersatu di tempat ketiga menerima RM4,000, kesemuanya berserta piala.
Acara penangguhan regatta berkenaan telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sibuti merangkap Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato Lukanisman Awang Sauni yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 September itu berjaya menarik kehadiran kira-kira 2,200 pengunjung terdiri daripada masyarakat setempat dan kawasan sekitar.
Sepanjang penganjuran, pelbagai kategori perlumbaan dipertandingkan termasuk 500 meter pekayuh bawah 30 tahun (pecut), pekayuh wanita terbuka (pecut), pekayuh lelaki terbuka (pecut) serta acara 10, 15, 20, 25 dan 30 pekayuh bagi kategori lelaki terbuka.
Selain perlumbaan perahu, suasana turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik seperti Pentas Rakyat menampilkan artis tempatan, pertandingan Ratu Regatta Subis, karaoke serta gerai jualan dan pameran.
Penganjuran Regatta Subis @ Niah 2026 bukan sahaja menjadi platform pertandingan dan hiburan, malah berperanan memperkenalkan potensi serta tarikan kawasan Niah sebagai destinasi pelancongan komuniti di Bahagian Miri.-EDISI UKAS