Jalan Baharu RM265.5 Juta Tingkat Akses Perhubungan Penduduk Pantu
PANTU: Penduduk di kawasan pedalaman Pantu bakal menikmati akses perhubungan yang lebih baik menerusi pembinaan jalan baharu sepanjang 42 kilometer (km) bernilai RM265.5 juta yang menghubungkan Muding, Tuba, Ipoh dan Mentu.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan berkata, projek berkenaan dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memudahkan pergerakan harian penduduk.
"Projek ini akan dapat memendekkan masa perjalanan dan sekali gus memudahkan urusan harian penduduk untuk ke pasar, klinik, dan pejabat kerajaan dengan lebih cepat, selamat, dan selesa apabila ia sudah siap dilaksanakan kelak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Randau Ruai di Rumah Achang Mumin, Muding, di sini pada Ahad.
Datuk Snowdan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin berkata, jaringan perhubungan yang lebih baik membolehkan hasil tani penduduk dari empat perkampungan berkenaan dipasarkan ke pekan berhampiran dan pusat bandar dengan lebih efisien.
Sehubungan itu, beliau berharap projek berkenaan dapat dilaksanakan mengikut jadual bagi menyokong pembangunan Daerah Pantu serta meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.
Dalam majlis sama, Datuk Snowdan mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Achang, Muding serta RM5,000 kepada biro wanita organisasi berkenaan.
Hadir sama Pegawai Daerah Pantu, Raca Mulong, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sri Aman, Michaelson Nyisin, para pegawai JKR, kakitangan agensi kerajaan, serta wakil pihak kontraktor. -EDISI UKAS