SKS Mukah Tawar 170 Perkhidmatan, Antara Skala Terbesar
KUCHING: Sebanyak 170 jenis perkhidmatan daripada 50 agensi bakal ditawarkan secara terus kepada rakyat menerusi Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Peringkat Bahagian Mukah yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober ini di Dataran Pehin Setia Raja.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, skala perkhidmatan yang disediakan itu memberikan manfaat lebih luas kepada masyarakat, khususnya penduduk di kawasan luar bandar.
“Penganjuran SKS untuk Bahagian Mukah adalah satu program yang amat ditunggu-tunggu, bukan sahaja oleh wakil rakyatnya, tetapi juga penduduk-penduduk di Bahagian Mukah dan di sekitarnya.
“Sebab kita melihat bahawa program ini satu program outreach yang mana outreach yang dibuat itu adalah berskala besar sekali. Di mana agensi yang terlibat mencecah 50, dan sebanyak 170 perkhidmatan disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program bual bicara Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di studio UKAS di sini pada Selasa.
Menurut beliau, pendekatan turun padang itu membolehkan masyarakat mendapatkan akses terus kepada agensi kerajaan tanpa perlu berulang-alik ke pejabat atau kementerian berkaitan, sekali gus mengurangkan kos perjalanan dan penginapan.
Sementara itu, Residen Bahagian Mukah, Bujang Rahman Seli berkata, penangguhan SKS Mukah yang dijadualkan pada Ogos lalu susulan keadaan jerebu diterima baik oleh masyarakat kerana keputusan tersebut dibuat atas faktor keselamatan dan kesihatan awam.
“Namun demikian, kekecewaan ini dapat mereka terima dengan hati yang terbuka. Ini kerana penangguhan itu bukan disebabkan oleh faktor yang sengaja kita nak buat, tetapi atas dasar keselamatan dan kesihatan awam yang mana pada ketika itu jerebu mendadak naik di Bahagian Mukah,” katanya.
Tambah beliau, SKS Mukah turut menyediakan peluang pekerjaan menerusi penyertaan tujuh syarikat dalam program padanan pekerjaan (job matching), serta penglibatan 50 gerai usahawan tempatan bagi mempromosikan produk dan hasil tempatan.
Selain itu, program pemerkasaan komuniti turut memberi tumpuan kepada industri pelancongan, digitalisasi dan pendedahan berkaitan kecerdasan buatan (AI), di samping aktiviti keusahawanan belia, sukan serta riadah untuk pelbagai lapisan masyarakat.
Pengunjung juga berpeluang menyertai e-Peraduan yang menawarkan 85 hadiah menarik sepanjang tiga hari program berlangsung, termasuk hadiah utama sebuah kereta Proton Saga bernilai RM41,000, tiga buah motosikal, loket emas, penginapan hotel, gajet dan barangan elektrik.
Bagi memeriahkan suasana, Mukah Kitchen bakal mengetengahkan makanan tradisional Melanau seperti umai, sagu dan linut, manakala Konsert Malam Kebudayaan dan Konsert Rakyat akan menampilkan barisan artis tempatan serta tanah air.
Sehubungan itu, program SKS Mukah mengalu-alukan kehadiran masyarakat dari seluruh Sarawak bagi menikmati pelbagai perkhidmatan, produk tempatan serta keunikan budaya dan makanan tradisional yang diketengahkan sepanjang program berkenaan. - EDISI UKAS