Sarawak Mohon Spektrum Tambahan Kurangkan Kesesakan Rangkaian Telekomunikasi
KUCHING: Sarawak menggesa penambahan spektrum telekomunikasi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengurangkan kesesakan rangkaian susulan peningkatan penggunaan perkhidmatan digital di negeri ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kapasiti rangkaian perlu diperkukuh seiring peningkatan kebergantungan masyarakat terhadap perkhidmatan dalam talian.
Menurutnya, penggunaan perkhidmatan dalam talian secara lebih berhemah dan memberi manfaat perlu terus digalakkan bagi memastikan kemudahan telekomunikasi digunakan secara optimum.
“Semua pihak wajib bekerjasama bagi memastikan infrastruktur telekomunikasi sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dan berfungsi secara optimum,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasmi beliau, pada Selasa.
Tambah beliau lagi, isu kerosakan kabel dan gentian optik akibat vandalisme serta kecurian turut memerlukan tindakan penguatkuasaan dan kerjasama lebih menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan.
Pada masa sama, Dato Sri Julaihi menegaskan penyelenggaraan infrastruktur telekomunikasi perlu dilaksanakan secara lebih sistematik dengan memberi perhatian segera terhadap menara yang condong, kabel atau talian yang berjuntai rendah serta tumbuhan menjalar yang menjejaskan struktur dan kemudahan berkenaan.
Katanya, MCMC perlu memainkan peranan dalam memastikan aspek penyelenggaraan diberi perhatian, dengan kerjasama semua agensi dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi serta sokongan peruntukan yang mencukupi.
Beliau turut menggesa penyedia perkhidmatan telekomunikasi memperkukuh kerjasama, termasuk meneroka penggunaan teknologi Multi-Operator Core Network (MOCN) secara bersama bagi membolehkan pelanggan menikmati liputan dan perkhidmatan yang lebih baik di mana sahaja mereka berada.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mencadangkan premis yang bergantung kepada transaksi dalam talian seperti stesen minyak memasang talian tetap sebagai sambungan utama, manakala perkhidmatan mudah alih digunakan sebagai sistem sokongan bagi mengurangkan gangguan perkhidmatan.
Jelasnya, pendekatan itu penting bagi memastikan urusan pelanggan dapat diteruskan sekiranya berlaku gangguan pada salah satu rangkaian. -EDISI UKAS