![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
KOTA SAMARAHAN: Penambahbaikan infrastruktur asas terutama akses jalan dan kemudahan pemprosesan penting bagi memperkukuh potensi pengeluaran nanas di Kampung Sungai Mata, sekali gus memudahkan hasil pertanian dibawa keluar untuk dipasarkan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, kemudahan infrastruktur yang baik diperlukan bagi memastikan aktiviti pertanian dapat dilaksanakan dengan lebih cekap serta menyokong pergerakan pengusaha dan hasil tanaman.
“Kita mahu melihat sendiri keadaan di lapangan, bukan sahaja dari segi pengeluaran nanas tetapi juga kemudahan yang diperlukan oleh pengusaha.
"Jalan ladang dan kemudahan pemprosesan merupakan antara perkara penting yang boleh membantu meningkatkan kecekapan serta potensi sektor pertanian di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai lawatan tapak ke Ladang Nanas Kampung Sungai Mata, di sini pada Selasa.
Dalam lawatan tersebut, Datuk Rubiah bersama rombongan meninjau kemudahan pemprosesan nanas, sebahagian Jalan Pospek Sungai Mata serta projek Jalan Ladang Sungai Mata bagi melihat keadaan dan keperluan semasa di kawasan pertanian berkenaan.
Menurutnya, akses jalan yang lebih baik bukan sahaja memudahkan pengangkutan hasil nanas, malah dapat menyokong aktiviti ekonomi penduduk setempat yang bergantung kepada sektor pertanian.
“Apabila akses ke kawasan ladang lebih baik, pergerakan hasil pertanian menjadi lebih mudah.
"Ini secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan kekangan yang dihadapi pengusaha dan memberi ruang kepada aktiviti pertanian untuk berkembang,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan pendekatan turun padang penting bagi membolehkan keperluan masyarakat luar bandar dikenal pasti berdasarkan keadaan sebenar di lapangan, khususnya kemudahan yang mempunyai kaitan langsung dengan aktiviti ekonomi dan kesejahteraan penduduk.
Lawatan berkenaan turut memberi gambaran mengenai potensi Ladang Sungai Mata untuk diperkasakan melalui peningkatan kemudahan sokongan pertanian, khususnya dari aspek akses jalan dan pemprosesan hasil.
Turut hadir, Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kota Samarahan, Anuar Abdul Da’an dan Penghulu Kampung Sungai Mata, Elen Mustafa. -EDISI UKAS