Koperasi Perlu Beralih Daripada Model Tradisional Kepada Pemain Komersial
KUCHING: Koperasi Sarawak perlu meningkatkan skala perniagaan dan keupayaan komersial bagi membolehkan lebih banyak perusahaan tempatan menembusi rantaian bekalan syarikat multinasional serta pasaran yang lebih luas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, koperasi tidak lagi boleh bergantung kepada aktiviti perniagaan tradisional, sebaliknya perlu berkembang sebagai entiti perniagaan yang mampu membina jenama, menguasai pasaran dan memenuhi standard perolehan syarikat besar.
Menurut beliau, perkembangan pelaburan domestik dan asing di Sarawak membuka peluang besar kepada koperasi untuk membekalkan produk, perkhidmatan dan keperluan sokongan kepada syarikat yang beroperasi di negeri ini.
“Pelaburan yang kita bawa masuk, sama ada Pelaburan Langsung Domestik (DDI) mahupun Pelaburan Langsung Asing (FDI), tetapi kita mahu impak kepada tempatan supaya ia membantu meningkatkan lagi ekonomi tempatan.
“Yang penting ialah meningkatkan standard pengeluaran produk dan perkhidmatan supaya memenuhi standard perolehan syarikat multinasional yang melabur di Sarawak. Ini adalah peluang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi (MAGK) Peringkat Sarawak 2026, di sini pada Selasa.
Tambah beliau lagi, koperasi juga perlu memainkan peranan lebih besar dalam menghimpunkan pengusaha kecil, petani, nelayan serta pengusaha makanan dan produk tempatan bagi mewujudkan skala ekonomi lebih besar, memperkukuh akses pasaran dan meningkatkan kuasa rundingan.
Katanya, banyak produk berkualiti dihasilkan masyarakat luar bandar, namun masih berdepan cabaran dari segi skala pengeluaran, pemasaran, pembungkusan dan akses kepada pasaran.
Untuk rekod, pendapatan koperasi Sarawak pada tahun lalu berjaya mencapai RM486.93 juta iaitu mencatat peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding tahun 2024.
Turut hadir, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Dato Sri Mohamad Naroden Majais, Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal, Ahli Parlimen Batang Sadong merangkap Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Rodiyah Sapiee serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS