![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
LIMBANG: Inisiatif pendidikan asas terus memainkan peranan penting dalam membantu golongan dewasa luar bandar meningkatkan keupayaan membaca, menulis dan mengira sekali gus memperbaiki taraf hidup mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang berkata, usaha tersebut selari dengan aspirasi melahirkan masyarakat berilmu, berakhlak mulia serta berdaya saing dalam menyumbang kepada pembangunan negara.
“Program ini merupakan salah satu usaha murni dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, malah berakhlak mulia, berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara tanpa mengira umur,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Graduasi Kelas Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) di Rumah Menuang Baru Lubai Tengah, di sini, pada Selasa.
Dato Paulus turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Limbang atas usaha menganjurkan program berkenaan sehingga berjaya dilaksanakan selama tempoh enam bulan dengan baik dan tersusun.
Dalam pada itu, beliau memuji komitmen 15 peserta yang terdiri daripada golongan dewasa yang gigih menimba ilmu walaupun berdepan kekangan sebelum ini, selain dedikasi tenaga pengajar yang banyak menyumbang kepada kejayaan program tersebut.
Tambahnya, usaha seumpama itu wajar diteruskan dan diperkasakan pada masa hadapan termasuk memperbanyakkan kelas literasi asas serta kemahiran khususnya di kawasan Batu Danau.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif KEMAS dalam memperluaskan peluang pembelajaran kepada masyarakat.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan cek bernilai RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita Rumah Menuang Baru Lubai Tengah.
Hadir sama Ketua Masyarakat Iban Bahagian Limbang, Temenggong Willie Marum Liaw, Pegawai KEMAS Bahagian Limbang, Khairul Amree Abdul Rahman dan Tuai Rh Menuang Baru Lubai Tengah, Grace Gresinda Majang.-EDISI UKAS