![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
KUCHING: Pelaksanaan Organisational Anti-Corruption Strategy (OACS) MINTRED 2030 perlu diterjemahkan kepada perubahan nyata dalam proses kerja bagi memperkukuh ketelusan, mempercepat penyampaian serta meningkatkan akauntabiliti Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, integriti merupakan sebahagian daripada pembangunan ekonomi dan mempunyai kaitan langsung dengan keyakinan pelabur, komuniti perniagaan, usahawan serta rakyat terhadap kerajaan.
“Pelabur mahukan kejelasan, konsistensi dan kepastian. Mereka mahu proses yang jelas, keputusan yang konsisten serta urusan yang cekap dan telus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Pelancaran OACS MINTRED 2030 dan Hari Integriti serta Inovasi MINTRED di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Menurutnya lagi, MINTRED juga menguruskan pelbagai bidang strategik termasuk perdagangan antarabangsa, pembangunan industri, pelaburan serta pembangunan usahawan yang melibatkan keputusan berkaitan pelaburan, pembangunan kawasan perindustrian, bantuan dan kelulusan.
Justeru, katanya, semakin besar nilai pelaburan dan peruntukan yang diurus, semakin tinggi tahap integriti dan akauntabiliti yang perlu dipastikan dalam setiap keputusan.
Bagi tempoh 2021 hingga 2025, Sarawak merekodkan lebih RM116 bilion pelaburan yang diluluskan, manakala pada 2025 sahaja, sebanyak RM16.3 bilion pelaburan diluluskan melibatkan 313 projek dengan potensi mewujudkan lebih 6,500 peluang pekerjaan berkualiti.
Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri MINTRED berkata, OACS MINTRED 2030 tidak seharusnya sekadar menjadi dokumen pentadbiran, sebaliknya perlu dilaksanakan bagi menghasilkan perubahan dalam penyampaian perkhidmatan.
“Ujian sebenar OACS bukan pada dokumen itu sendiri, tetapi pada pelaksanaannya. Kita tidak mahu OACS sekadar menjadi satu lagi dokumen atau memenuhi keperluan pentadbiran sahaja. Kita mahu melihat perubahan yang nyata,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan mengimbangi integriti dengan inovasi menerusi penggunaan teknologi, pendigitalan dan penambahbaikan proses bagi mengurangkan birokrasi tanpa menjejaskan kawalan serta tadbir urus.
Katanya, setiap warga MINTRED mempunyai peranan dalam memastikan kementerian terus dikenali sebagai organisasi yang cekap, profesional, responsif dan berintegriti tinggi.
Turut hadir Timbalan Menteri MINTRED Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr. Juanda Jaya, Penasihat MINTRED Dato’ Sri Naroden Majais, Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa,Industri & Pelaburan Sarawak, Datu Lester Matthew dan tetamu jemputan yang lain.- EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ezzah Syafiqah