![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
KUCHING: Prestasi pelaburan Sarawak dijangka terus meningkat pada 2026, didorong kemasukan pelaburan baharu serta komitmen syarikat sedia ada untuk melaksanakan pelaburan semula, termasuk Taiyo Yuden yang dijangka menambah pelaburan sekitar RM600 juta.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, keyakinan itu berdasarkan hasil libat urus dengan beberapa syarikat yang telah menyatakan komitmen untuk melabur serta mengembangkan operasi mereka di Sarawak.
“Ya, itu setakat suku pertamalah tahun ini. Dan kita berharap pelaburan ini akan meningkat. Dan saya penuh yakin ia akan meningkat. Kita sudah membuat engagement dengan beberapa syarikat yang sudah mempunyai komitmen. Ada pelaburan baru, dan ada pelaburan untuk mereka reinvest,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Organisational Anti-Corruption Strategy (OACS) MINTRED 2030 dan Hari Integriti serta Inovasi MINTRED di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Menurut beliau, Taiyo Yuden merupakan antara syarikat sedia ada yang bakal meningkatkan pelaburan menerusi pelaburan semula bagi fasa seterusnya.
“Angka itu tak susahlah dan Taiyo Yuden kalau tidak silap saya untuk peringkat ke-4 ini, reinvestment nya ia mungkin dalam RM600 juta,” katanya.
Pada 2025, Sarawak merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM16.3 bilion melibatkan 313 projek, dengan potensi mewujudkan lebih 6,500 peluang pekerjaan berkualiti.- EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah