SSeMS Naib Johan Pertandingan Orkestra Jazz Perpaduan Generasi Madani 2026
KUALA TERENGGANU: Sekolah Seni Malaysia Sarawak (SSeMS) merangkul Naib Johan Kategori Sekolah Seni Malaysia dalam Pertandingan Orkestra Jazz Perpaduan Generasi Madani Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung dari 28 hingga 30 September, di Dewan Konvensyen TTI, di sini.
SSeMS menghantar 18 orang murid dan tiga orang guru pembimbing untuk bersaing dalam Kategori Sekolah Seni Malaysia bersama empat sekolah lain, iaitu Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, Sekolah Seni Malaysia Johor, Sekolah Seni Malaysia Perak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Elopura Sabah.
Menurut Ketua Kontinjen merangkap Ketua Bidang Muzik SSeMS, Cikgu Raynold Ebony, penyertaan sulung ini bertujuan memberikan pendedahan dan pengalaman kepada murid dalam bidang muzik serta persembahan ensembel.
Persembahan SSeMS menurutnya, mengetengahkan gabungan permainan alat muzik, vokal dan kepimpinan konduktor, selain menampilkan kemahiran teknikal, kreativiti, disiplin dan semangat kerja berpasukan.
Cikgu Raynold turut memaklumkan bahawa SSeMS sebelum ini telah meraih pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama sekolah dan Sarawak dalam bidang muzik pendidikan.
Majlis penutupan pertandingan itu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Dasar, Perancangan dan Penyelarasan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) Kementerian Pendidikan Malaysia, Huszaidi Hussin.-EDISI UKAS