Pentadbiran SUK Sarawak Raih Tujuh Penarafan Pengurusan Aduan Awam
PUTRAJAYA: Pentadbiran Setiausaha Kerajaan (SUK) Sarawak meraih tujuh penarafan dalam pelaksanaan Naziran Pengurusan Aduan Awam bagi tahun 2025 sekali gus mencerminkan kecekapan dan komitmen dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam.
Tujuh kategori yang diraih Pentadbiran SUK Sarawak ialah Kecekapan Respons Awam, Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan, Pemerkasaan Kompetensi Pengurusan Aduan, Kecekapan Proses Kerja, Tadbir Urus Pengurusan Aduan, Komunikasi Awam Strategik dan Keunggulan Inovasi Digital.
Pengiktirafan itu diberikan oleh Biro Pengaduan Awam (BPA), Jabatan Perdana Menteri selepas proses naziran melibatkan keseluruhan 13 Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri yang dilaksanakan dari 14 Mei hingga 30 Julai 2026.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee mewakili Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki hadir menerima sijil pengiktirafan daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dato' Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam Majlis Apresiasi Penarafan Pengurusan Aduan Awam di Putrajaya pada Khamis.
Secara keseluruhannya, Sarawak merupakan antara negeri yang merekodkan tujuh penarafan bersama Perak, Melaka, Selangor dan Kedah.
Sementara itu Pahang, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Kelantan masing-masing merekodkan enam penarafan, manakala Terengganu, Johor, Perlis dan Sabah masing-masing menerima lima penarafan.
Pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen Pentadbiran SUK Sarawak dalam memperkukuh pengurusan aduan awam secara sistematik, cekap dan responsif, khususnya dalam memastikan setiap maklum balas rakyat diberi perhatian serta tindakan sewajarnya.
Pengiktirafan tersebut turut memperlihatkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam mempertingkat kecekapan proses kerja, tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan awam selaras dengan keperluan serta harapan rakyat.
Turut hadir, Ketua Pengarah BPA, Datuk Akbar Samon dan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan -EDISI UKAS