10 Isi Rumah Long Jekitan Terima Bantuan Susulan Kebakaran
LONG JEKITAN: Sebanyak 10 isi rumah yang terjejas akibat kebakaran baru-baru ini menerima bantuan keperluan harian bagi meringankan beban mereka susulan kejadian tersebut.
Bantuan berkenaan disampaikan Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau, menerusi lawatan beliau ke komuniti Long Jekitan, pada Rabu.
Bantuan yang disalurkan merangkumi bekalan makanan asas, barangan keperluan rumah, pakaian serta bantuan kewangan kepada keluarga yang terjejas.
Dalam lawatan tersebut, Dato Anyi turut mendengar secara langsung keluhan, kebimbangan serta keperluan segera penduduk yang terjejas, selain menzahirkan simpati kepada keluarga yang kehilangan kediaman dan harta benda.
Kejadian berkenaan bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jabatan dan agensi kerajaan berkaitan, pemimpin masyarakat, sukarelawan serta orang awam yang tampil membantu mangsa, khususnya mengambil kira kedudukan kampung yang terpencil dan cabaran logistik dalam menyalurkan bantuan.
Beliau berharap bantuan yang disampaikan dapat meringankan beban mangsa dan membantu mereka meneruskan kehidupan selepas kejadian itu.-EDISI UKAS