Penguasaan Matematik, Sains Perlu Diperkukuh Sejak Sekolah Rendah
TATAU: Penguasaan Matematik dan Sains sejak peringkat sekolah rendah penting bagi memastikan generasi muda Sarawak mempunyai asas kukuh untuk melanjutkan pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, pendedahan awal terhadap STEM perlu diberikan bagi membantu murid menguasai bidang tersebut sebelum melangkah ke peringkat pendidikan yang lebih tinggi.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutupan Rasmi Numbers and Exploration for Understanding Science (Karnival NEXUS) 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bagiau, di sini, pada Rabu.
Menurutnya, penubuhan enam Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) merupakan antara inisiatif Kerajaan Sarawak untuk memberi peluang kepada anak-anak tempatan, termasuk dari kawasan luar bandar, menikmati pendidikan berteraskan silibus antarabangsa Cambridge.
Datuk Dr Annuar berkata, tiga YSISS kini telah beroperasi, melibatkan dua sekolah di Kuching dan sebuah di Sibu, manakala tiga lagi bakal dibina di Miri, Bintulu dan Betong.
Katanya, seramai lima pelajar perintis di sekolah berkenaan dijadualkan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Program Dwibahasa (UP-DLP) pada 14 dan 15 Oktober ini.
Dalam pada itu, Datuk Dr Annuar menggalakkan ibu bapa agar tidak melepaskan peluang menghantar anak-anak yang berkelayakan ke YSISS, khususnya golongan B40 dari kawasan pedalaman dan rumah panjang.
Katanya, baru-baru ini seramai 10 pelajar dari rumah panjang di Betong telah menerima surat tawaran untuk mengikuti pendidikan di YSISS dengan tajaan penuh.
Justeru, beliau amat berharap agar anak-anak dari SK Sungai Bagiau juga bakal mencipta sejarah melayakkan diri ke sekolah elit berkenaan.-EDISI UKAS