Sarawak Women@Work Perluas Peluang, Perkasa Penyertaan Wanita Dalam Ekonomi
MIRI: Program Sarawak Women@Work Bahagian Miri menjadi platform untuk memperluas peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran serta memperkasa wanita dalam bidang keusahawanan dan ekonomi.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti I Datuk Rosey Yunus berkata, program berkenaan membuka ruang dan peluang kepada wanita untuk mendapatkan maklumat berkaitan pekerjaan, kemahiran serta peluang yang disediakan agensi kerajaan.
“Ini merupakan peluang yang sangat penting kerana kita mahu membuka ruang dan peluang kepada wanita untuk mengetahui apa yang disediakan, termasuk peluang pekerjaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Sarawak Women@Work Bahagian Miri di Bintang Megamall Miri pada Rabu.
Menurut beliau, program tersebut turut memberi laluan kepada wanita yang pernah berhenti bekerja untuk kembali menyertai dunia pekerjaan, selain menyediakan sistem sokongan bagi membantu mereka kekal dalam tenaga kerja.
Datuk Rosey berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia bagi 2024, kadar penyertaan tenaga buruh wanita di Sarawak ialah 52.7 peratus berbanding 85.4 peratus bagi lelaki, menunjukkan masih terdapat ruang untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam dunia pekerjaan dan ekonomi.
Dalam pada itu, tegasnya, kemahiran digital kini menjadi satu keperluan, khususnya dalam membantu usahawan wanita memasarkan produk dan menembusi pasaran yang lebih luas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu itu turut menggalakkan usahawan wanita mendaftar dalam sistem pangkalan data yang disediakan bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti perniagaan, keperluan serta bentuk bantuan dan peningkatan kemahiran yang bersesuaian.
Program dua hari pada 29 dan 30 September turut menyediakan ruang kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat pekerjaan, latihan serta peluang keusahawanan melalui agensi dan rakan strategik yang terlibat.
Pada program berkenaan, seramai 15 penerima turut menerima bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS), manakala jumlah penerima bantuan tersebut setakat ini telah mencapai lebih 2,200 orang.-EDISI UKAS