MAIS, Pewaris Adat Asal Singai Bincang Dokumentasi Warisan Bidayuh
KOTA SAMARAHAN: Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) dan Persatuan Pewaris Adat Asal Singai membincangkan cadangan penyelidikan serta penerbitan buku berkaitan pakaian tradisional masyarakat Bidayuh Singai.
Cadangan tersebut dibincangkan menerusi kunjungan hormat Persatuan Pewaris Adat Asal Singai kepada Ketua Majlis, MAIS, Datu Dr Neilson Ilan Mersat di pejabat MAIS, di sini, pada Rabu.
Menurut Datu Dr Neilson, usaha pendokumentasian tersebut penting dalam memperkayakan khazanah ilmu berkaitan pakaian tradisional di Sarawak serta memastikan pengetahuan berkenaan dapat dipindahkan kepada generasi seterusnya.
Cadangan penyelidikan dan penerbitan buku bertajuk ‘Pikokas Asal Boris Duoh Sigar Bisingai’ itu turut membuka ruang kerjasama antara MAIS dan persatuan berkenaan dalam mendokumentasikan pengetahuan, budaya, tradisi serta sejarah masyarakat Bidayuh Singai.
Kunjungan tersebut turut disertai Pengerusi Persatuan Pewaris Adat Asal Singai, Edid Ngupel, bersama Christi Lemon, Samson Kidau Dzrandidi Desson dan Jenny Tama.
Rombongan turut mengadakan lawatan ke Galeri Etnik Bidayuh MAIS sebagai sebahagian daripada kunjungan berkenaan.-EDISI UKAS