KSN Puji Kecekapan Sarawak Catat 96.5 Peratus Penyelesaian Aduan Awam
PUTRAJAYA: Kecekapan Kerajaan Sarawak dalam menguruskan lebih 56,000 maklum balas dan aduan awam sehingga Oktober 2026 mendapat pujian apabila 96.5 peratus daripadanya berjaya diselesaikan, dengan sebahagian besar ditangani dalam tempoh kurang empat hari.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan setiap aduan dan keluhan rakyat diberikan perhatian serta tindakan sewajarnya.
“Walaupun pencapaian telah dikecapi, kita perlu mengekalkan momentum kecemerlangan ini dan jika masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki, maka ia perlu diperbaiki segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Apresiasi Penarafan Naziran Pengurusan Aduan Awam Peringkat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Tahun 2025 di Putrajaya pada Khamis.
Dalam pada itu, Tan Sri Shamsul Azri berkata, pengurusan aduan awam tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai proses menerima dan menyelesaikan aduan, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk mengenal pasti trend serta kelemahan dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Menurutnya, aduan yang kerap diterima dari kawasan atau melibatkan isu sama boleh menjadi petunjuk terdapat aspek perkhidmatan yang perlu ditambah baik.
“Gunakan maklum balas ini untuk kita meneliti trend permasalahan rakyat dan seterusnya merangka kaedah penyelesaian terbaik dan pantas.
“Janganlah kita bersikap lepas tangan dengan menolak pengadu atas alasan isu tersebut di luar bidang kuasa kita,” ujarnya.
Tan Sri Shamsul Azri turut menggesa kepimpinan tertinggi di peringkat negeri mengambil cakna terhadap fungsi dan peranan pengurusan aduan awam serta memastikan mesyuarat berkaitan diadakan secara berkala.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi membolehkan pemimpin memahami secara langsung keluhan rakyat di lapangan, sekali gus memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Beliau menjelaskan, cara sesebuah kerajaan menguruskan aduan mencerminkan tahap kecekapan, empati dan iltizam dalam membela kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, beliau berharap pencapaian Sarawak dalam pengurusan aduan awam dapat terus dipertingkatkan menerusi tindakan yang pantas, berkesan dan berorientasikan penyelesaian. -EDISI UKAS