ISSIP Focus 2026 Perkukuh Tindakan Bersepadu Tangani Empat Isu Sosial
KUCHING: Integrated Sarawak Social Intervention Programme (ISSIP) Focus 2026 memperkukuh pendekatan bersepadu dalam menangani empat isu sosial utama di Sarawak, iaitu keganasan rumah tangga, penuaan, jenayah siber serta jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, isu sosial tidak boleh ditangani oleh satu kementerian atau agensi sahaja, sebaliknya memerlukan pemahaman kolektif, tindakan bersepadu dan tanggungjawab bersama melibatkan kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi penyelidikan serta komuniti.
"Isu keganasan rumah tangga kekal sebagai antara perkara yang memerlukan perhatian apabila sebanyak 552 kes dilaporkan di Sarawak pada 2024 dan 535 kes pada 2025," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan ISSIP Focus 2026 bertemakan “Integrated Action, Shared Responsibility” yang dianjurkan Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS) di Raia Hotel Kuching, pada Khamis.
Ujarnya, kes melibatkan wanita meningkat daripada 371 kepada 382 kes dalam tempoh sama, menunjukkan keperluan untuk memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai hak mangsa, saluran bantuan serta peranan agensi berkaitan.
Bagi isu penuaan pula, beliau berkata Sarawak mempunyai kira-kira 333,200 penduduk berusia 60 tahun dan ke atas pada 2025, merangkumi 13.2 peratus daripada keseluruhan penduduk negeri, dengan Sri Aman mencatatkan peratusan warga emas tertinggi mengikut bahagian pada 20.3 peratus, manakala Lubok Antu mencatatkan kadar tertinggi di peringkat daerah pada 22.8 peratus.
Katanya lagi, MPS turut menjalankan kajian Research on Preparation for an Ageing Sarawak: The Profile of and Ageing Issues of Older Persons in Sarawak melibatkan 6,094 responden di 12 bahagian dan 45 daerah.
Kajian tersebut bagi memahami cabaran warga emas termasuk aspek kesihatan dan mobiliti, keselamatan kewangan, penjagaan, persekitaran tempat tinggal, akses perkhidmatan serta literasi digital, dengan dapatan kajian dan sesi libat urus menjadi antara rujukan penting dalam pembangunan Sarawak Ageing Blueprint.
Dalam pada itu, beliau berkata jenayah siber turut menjadi cabaran yang semakin kompleks apabila sebanyak 5,875 kes direkodkan di Sarawak bagi tempoh 2024 hingga April 2026 dengan kerugian sekitar RM233.48 juta, termasuk 1,957 kes pada 2024 melibatkan kerugian RM76.71 juta dan 2,662 kes pada 2025 dengan kerugian RM109.17 juta.
"Isu jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak juga perlu diberi perhatian apabila sebanyak 146 kes rogol, 120 kesalahan amang seksual terhadap kanak-kanak (AKSTK), 41 kes cabul dan 14 kes liwat direkodkan di Sarawak bagi tempoh Januari hingga 18 September 2026, dengan perbincangan ISSIP turut memberi penekanan kepada pengesanan awal apabila menerima pendedahan, pelaporan, pemeliharaan bukti serta akses kepada perlindungan."
Tambah beliau, pelaksanaan ISSIP Focus 2026 membuktikan kepentingan pembangunan sosial berasaskan data dan bukti kerana statistik bukan sahaja menunjukkan trend serta skala sesuatu isu, sekali gus melengkapkan dapatan penyelidikan dan memperkukuh pendekatan intervensi sosial negeri.-EDISI UKAS