FWTA Percepat Pengambilan Pekerja Bukan Pemastautin, Tempoh Dipendek Kepada 60 Hari
MIRI: Pelaksanaan Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA) terus diperkasa bagi mempercepat urusan pengambilan pekerja bukan pemastautin apabila tempoh pemprosesan bagi kategori buruh berjaya dipendekkan daripada 191 hari kepada 60 hari.
Kerajaan Sarawak kini menyasarkan tempoh berkenaan dapat dikurangkan lagi kepada kurang 40 hari, menerusi penyelarasan prosedur operasi standard (SOP), proses pentadbiran dan keserasian sistem antara agensi negeri dan Persekutuan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, berkata penambahbaikan itu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan sistem pengambilan pekerja bukan pemastautin lebih praktikal, cekap dan memenuhi keperluan industri.
“Kita perlu menghormati perkara ini, tetapi kita berusaha sebaik mungkin untuk menangani isu dalaman, pentadbiran dan keserasian sistem," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program SCSIMon Industry Update (Miri) sempena Sambutan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak, pada Rabu.
Menurutnya, perbezaan SOP antara agensi negeri dan Persekutuan perlu dihormati, namun isu berkaitan prosedur, pentadbiran dan keserasian sistem terus dikenal pasti serta ditangani melalui penyelarasan antara agensi.
Dalam masa sama, proses pengambilan ekspatriat yang bermula tahun ini turut ditambah baik menerusi penyelarasan dengan prosedur dan sistem Jabatan Imigresen Malaysia.
Datuk Gerawat berkata maklum balas dan pengalaman pihak industri menjadi input penting kepada Unit Pengurusan Imigresen dan Buruh (ILMU) serta agensi berkaitan untuk mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam pelaksanaan FWTA.
Pendekatan itu turut membolehkan kerajaan menilai keberkesanan sistem berdasarkan keperluan sebenar industri, khususnya dalam memastikan urusan berkaitan tenaga kerja dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.
Beliau berkata usaha memudah cara urusan industri berkenaan selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang meletakkan sektor swasta sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Dalam memastikan pelaksanaan terus disokong di peringkat agensi, ILMU, Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak, Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan terus bekerjasama membantu pihak industri.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua, Penasihat ILMU, Jabatan Premier Sarawak, Datu Ken Leben, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, Jamillah Putit serta Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Sarawak (Kawalan), Jabatan Imigresen Malaysia, Norhafiza Junaidi.-EDISI UKAS