APC 2025 Jadi Pemangkin Tingkat Mutu Perkhidmatan Pendidikan Miri
MIRI: Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 kepada 279 warga pendidikan Miri diharap menjadi pemangkin untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan serta kecemerlangan sektor pendidikan di daerah itu.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli, berkata pengiktirafan berkenaan bukan sekadar penghargaan terhadap prestasi yang dicapai, malah perlu diterjemahkan kepada motivasi untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.
“Semoga dengan anugerah ini tuan dan puan akan terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan sudah pasti akan menjadi inspirasi dalam kalangan warga pendidikan yang lain di daerah Miri.”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 dan Majlis Persaraan Tahun 2026 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Miri di Hotel Imperial, pada Rabu.
Menurutnya, landskap pendidikan yang sentiasa berubah menuntut warga pendidikan untuk terus menyesuaikan diri, meningkatkan keupayaan serta memastikan penyampaian perkhidmatan kekal berkualiti.
Beliau turut mengingatkan warga pendidikan supaya mematuhi peraturan dan arahan ditetapkan, selain memberi perhatian terhadap aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid, khususnya ketika berdepan keadaan jerebu.
Dalam masa sama, warga pendidikan digesa lebih berhemah dalam menangani maklumat di media sosial bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat berkaitan isu pendidikan.
Omar turut merakamkan tahniah kepada PPD Miri atas pencapaian dalam SPM dan STPM 2025, selain kejayaan pelajar dalam bidang kokurikulum di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
Sementara itu, seramai 64 pegawai diraikan sempena persaraan dan bakal bersara pada 2026, dengan penghargaan turut diberikan atas khidmat bakti mereka sepanjang berada dalam perkhidmatan pendidikan.
Majlis berkenaan menjadi wadah menghargai warga pendidikan yang menunjukkan prestasi cemerlang, di samping menyemarakkan budaya kerja berkualiti dan komitmen berterusan dalam penyampaian perkhidmatan pendidikan.-EDISI UKAS