Program KAPS Perkukuh Kesedaran Remaja Mengenai Kesihatan dan Keselamatan Diri di Saratok
SARATOK: Program Intervensi Sosial Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) Bahagian Betong menjadi platform penting dalam memperkukuh pengetahuan dan kesedaran remaja terhadap aspek kesihatan, keselamatan serta kesejahteraan sosial.
Program yang berlangsung di SMK BM Saratok pada Selasa berjaya menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dalam usaha menyampaikan maklumat tepat dan berkesan kepada golongan pelajar.
Majlis penangguhan program telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.
Beliau dalam ucapannya menegaskan bahawa kerjasama erat antara kerajaan, pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti amat penting dalam membentuk generasi muda yang berilmu, berakhlak serta mampu membuat keputusan bijak dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Sepanjang program, para pelajar didedahkan dengan pelbagai sesi ceramah, perkongsian ilmu serta aktiviti interaktif yang merangkumi pendidikan seksual, kesihatan reproduktif, keselamatan diri, kesejahteraan mental serta pencegahan gejala sosial.
Selain itu, pameran dan kaunter informasi daripada pelbagai agensi kerajaan turut mendapat sambutan menggalakkan apabila menyediakan maklumat berkaitan kesihatan, perlindungan kanak-kanak, keselamatan dan pendidikan.
Program tersebut turut berperanan sebagai medium memperkukuh kerjasama strategik antara agensi dalam menyampaikan maklumat secara menyeluruh kepada golongan remaja agar lebih bersedia menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Saratok, Mohamad Dino Amit, Pengetua SMK BM Saratok, Mohd Suffian Ikram, wakil Pejabat Pendidikan Daerah Saratok, Mohd Tarmimi Ali serta wakil Residen Bahagian Betong, Althrina Marla Sadali.-EDISI UKAS