263 Agensi Aktif Gunakan Sistem TALIKHIDMAT Sarawak
PUTRAJAYA: Sebanyak 263 kementerian, jabatan dan agensi di Sarawak kini aktif menggunakan Sistem TALIKHIDMAT sebagai platform pengurusan aduan dan maklum balas awam bagi memastikan segala isu, pandangan dan permasalahan rakyat dapat ditangani secara lebih tersusun dan berkesan.
Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie bin Awang Redzuan berkata, komitmen dan penglibatan aktif agensi berkenaan menjadi antara kekuatan utama dalam memastikan setiap maklum balas yang diterima melalui Sistem TALIKHIDMAT dapat disalurkan dengan segera kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut dalam tempoh yang ditetapkan.
Katanya, UKAS sentiasa bekerjasama dengan kementerian, jabatan dan agensi terlibat menerusi latihan, bimbingan serta sesi libat urus bagi memastikan pengendalian sistem dan proses penyelesaian maklum balas dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.
“Itu merupakan komitmen UKAS dalam memastikan pengendalian Sistem TALIKHIDMAT di setiap agensi dapat dilaksanakan dengan baik dan semua pengendali sistem terlatih” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas Majlis Apresiasi Penarafan Naziran Pengurusan Aduan Awam Peringkat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Tahun 2025 di Dewan Damar Sari, Putrajaya pada Khamis.
Awang Putrayusrie berkata, keberkesanan kerjasama antara agensi turut dapat dilihat menerusi pencapaian pengurusan aduan awam Sarawak apabila hampir 96 peratus daripada kira-kira 56,000 aduan yang diterima bagi tempoh Januari hingga September 2026 berjaya diselesaikan.
Menurutnya, pencapaian tersebut membuktikan komitmen agensi yang terlibat dalam memastikan maklum balas rakyat tidak hanya diterima, tetapi turut diberi tindakan dalam tempoh yang ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau berkata UKAS akan terus menambah baik Sistem TALIKHIDMAT dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan pengurusan aduan awam yang semakin berkembang.
Katanya, antara penambahbaikan yang sedang diberi perhatian termasuk penerapan elemen baharu seperti kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan sistem pada masa hadapan.
Sementara itu, pengurusan Sistem TALIKHIDMAT turut menyumbang kepada pencapaian Pentadbiran SUK Sarawak yang menerima tujuh penarafan dalam Majlis Apresiasi Penarafan Naziran Pengurusan Aduan Awam 2025 anjuran Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.
Tujuh penarafan tersebut meliputi Kecekapan Respons Awam, Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan, Pemerkasaan Kompetensi Pengurusan Aduan, Kecekapan Proses Kerja, Tadbir Urus Pengurusan Aduan, Komunikasi Awam Strategik serta Keunggulan Inovasi Digital.-EDISI UKAS