Sejarah Sarawak Perlu Ditulis Semula Berasaskan Sumber Tempatan
KUCHING: Sejarah Sarawak perlu ditulis semula dengan memperluas perspektif serta memperkukuh penggunaan sumber tempatan bagi melengkapkan jurang dan memperbetulkan tafsiran sejarah sedia ada.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, usaha tersebut bukan bermaksud mengubah fakta sejarah secara sewenang-wenangnya, sebaliknya melengkapkan ruang yang masih belum diterokai, memperbetulkan kesilapan dan mengangkat sumber serta suara tempatan.
“Menulis semula sejarah Sarawak bukan bermaksud menukar fakta sesuka hati.
“Maksudnya ialah melengkapkan kekurangan, membetulkan kesilapan, memperluas sudut pandang, membaca sumber luar secara kritis serta mengangkat sumber tempatan dan suara masyarakat Sarawak sendiri dalam naratif sejarahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Negarawan sempena Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak 2.0 2026 di Wisma Melayu Sarawak, di sini, pada Khamis.
Menurut Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi, sumber sejarah tempatan seperti manuskrip lama, salasilah keturunan, syair tradisional, sejarah lisan dan rekod peribadi perlu diberi perhatian dalam usaha membina pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai sejarah Sarawak.
Beliau berkata, sejarah Sarawak juga tidak wajar hanya dilihat daripada perspektif sumber Barat atau Eropah, sebaliknya perlu diteliti berdasarkan pelbagai sumber dan suara yang ada.
Hadir sama isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS