Setiap Organisasi Perlu Main Peranan Jadikan Visi Sarawak Sebagai Realiti
KUCHING: Setiap organisasi, institusi dan individu mempunyai peranan penting dalam menyumbang kepada usaha menjadikan visi pembangunan Sarawak sebagai realiti.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, transformasi Sarawak tidak boleh digerakkan oleh kerajaan sahaja, sebaliknya memerlukan sumbangan pelbagai pihak ke arah satu hala tuju yang sama.
"Kerajaan sahaja tidak mampu mentransformasikan Sarawak. Begitu juga satu syarikat, satu universiti atau satu institusi.
"Transformasi berlaku apabila banyak organisasi, institusi dan individu menyumbang ke arah satu hala tuju yang sama," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian ‘Sarawak Corporate Leadership Summit 2026’ di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Khamis.
Premier Sarawak memberitahu, Sarawak mempunyai pelbagai kekuatan termasuk sumber semula jadi, tenaga boleh diperbaharui, tanah, biodiversiti, kedudukan strategik, keupayaan kewangan dan yang paling penting, rakyat.
Bagaimanapun, katanya, kekuatan tersebut perlu disokong dengan visi, keupayaan, disiplin serta kesediaan untuk bertindak.
Justeru, beliau menyeru semua pihak memahami perkembangan masa depan, membuat persediaan dan yakin meneroka peluang yang mampu mencipta nilai berkekalan untuk Sarawak.
"Yang paling penting, marilah kita memastikan kemajuan yang kita capai hari ini mewujudkan lebih banyak peluang untuk generasi yang akan datang.
"Bersama-sama, kita boleh merealisasikan visi kita dan membina Sarawak yang lebih kukuh, lebih berkeupayaan serta lebih bersedia menghadapi masa depan," jelas beliau.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Ketua-ketua Jabatan serta kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh:Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Eddie (Jabatan Penerangan Sarawak)