KUCHING: Pendekatan ‘3R’ iaitu Revisit, Rethink dan Recharge perlu terus diamalkan sebagai langkah praktikal dalam memacu transformasi serta penambahbaikan berterusan organisasi.
Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan organisasi sentiasa bersedia menghadapi perubahan, meningkatkan keupayaan serta menghasilkan keputusan yang bermakna dan boleh diukur.
“Sebagai pemimpin, kita perlu bertanya kepada diri sendiri, adakah kita atau organisasi kita berada di hadapan perubahan ini, bergerak seiring dengannya, atau masih berada di takuk yang sama?
“Kepimpinan menentukan kadar sesuatu transformasi maka kita perlu bergerak cukup pantas untuk bertindak balas terhadap perubahan.
"Namun, kepantasan semata-mata bukan ukuran kejayaan tetapi transformasi mesti menghasilkan pencapaian yang bermakna dan boleh diukur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian ‘Sarawak Corporate Leadership Summit 2026’ yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Khamis.
Menurutnya, Revisit menuntut organisasi menilai semula perkara yang berfungsi, perkara yang tidak berfungsi serta mengenal pasti jurang yang wujud.
Katanya, ia menuntut organisasi menilai semula perkara yang berfungsi, perkara yang tidak berfungsi serta mengenal pasti jurang yang wujud.
Rethink katanya menuntut pemimpin untuk sentiasa mencari kaedah lebih baik, termasuk mempermudah prosedur serta berkongsi sumber atau bekerjasama dengan organisasi lain bagi mencapai hasil yang lebih baik.
Sementara itu, Recharge memberi penekanan terhadap pelaburan dalam modal insan bagi memastikan penambahbaikan dapat diteruskan.
"Pendekatan ini memerlukan pemimpin yang bersedia memacu perubahan, menetapkan hala tuju yang jelas serta terus terlibat secara dekat dalam pelaksanaan," jelasnya.
Dalam pada itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar berkata, persidangan dua hari berkenaan menghimpunkan wakil Perkhidmatan Awam Sarawak, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun dan sektor swasta.
Katanya, tema ‘Leading Transformation of High-Performing Organization’ amat relevan dalam melengkapkan ahli lembaga pengarah, ketua pegawai eksekutif dan pemimpin kanan dengan pandangan praktikal untuk menerajui transformasi serta mencapai hasil yang mampan.
Beliau turut berharap persidangan tersebut dapat memperkukuhkan ekosistem GLC dan badan berkanun Sarawak supaya entiti berkenaan terus berkembang dan memainkan peranan besar dalam merealisasikan aspirasi pembangunan Sarawak.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Ketua-ketua Jabatan serta kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Eddie (Jabatan Penerangan Sarawak)