Motif Papan Tanda LTAK Perlu Cerminkan Warisan Sarawak
KUCHING: Motif pada papan tanda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) perlu mencerminkan budaya dan warisan Sarawak bagi memastikan identiti tempatan tidak disalahgambarkan kepada pengunjung.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata reka bentuk yang tidak menggambarkan warisan tempatan wajar diganti.
“Jika ia tidak menunjukkan budaya dan warisan kita, ia harus digantikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai motif pada papan tanda di LTAK yang didakwa menggunakan reka bentuk janaan kecerdasan buatan (AI) semasa sidang media Sarawak Regatta dan Festival Perahu Naga Antarabangsa Sarawak 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, pada Khamis.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, motif yang dipaparkan dalam imej tular itu dilihat bukan motif asli Sarawak dan tidak benar-benar menggambarkan identiti budaya tempatan.
Bagaimanapun, beliau berkata imej berkenaan perlu diteliti terlebih dahulu, termasuk mengenal pasti sumber dan pihak yang bertanggungjawab terhadap reka bentuk tersebut sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.-EDISI UKAS