118 Pasukan Sertai Kejohanan Petanque Beregu Terbuka Sri Santubong
KUCHING: Hampir 118 pasukan bagi kategori Beregu Terbuka dan 61 pasukan bagi kategori Beregu Wanita telah mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Petanque Beregu Terbuka Sri Santubong (Siri Ke-18) dan Piala Jabatan Tanah Dan Survei (LANDAS) Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Persatuan Sukan Petanque Bahagian Kuching (PSPBK) 2026 & Jemputan Antarabangsa.
Pengurus Kanan Bahagian Hal Ehwal Korporat LCDA Saiful Bahari Amra Ramly berkata, kejohanan yang berlangsung pada 3 dan 4 Oktober itu turut menerima penyertaan antarabangsa dari Indonesia, Thailand, Brunei dan negara-negara lain
Menurutnya, kejohanan berkenaan turut disertai pemain dari Sabah, Pahang, Terengganu dan Perak dan juga pemain daripada pelbagai agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi seperti Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) serta LCDA.
“Bagi kategori Beregu Terbuka, johan akan menerima RM6,000 berserta Piala Pusingan dan Piala Iringan, naib johan RM3,000 dan Piala Iringan, manakala tempat ketiga bersama menerima RM1,500 dan Piala Iringan.
“Tempat kelima hingga kelapan menerima RM500 berserta medal, manakala tempat kesembilan hingga ke-16 menerima RM200 berserta medal.
“Bagi kategori Beregu Wanita, johan menerima RM2,500 dan Piala Iringan, naib johan RM1,500 dan Piala Iringan, manakala tempat ketiga bersama menerima RM800 dan Piala Iringan,” katanya dalam sidang media kejohanan tersebut di Sarawak Plaza, di sini, pada Khamis.
Tambahnya, kejohanan itu terbuka kepada semua penggiat dan pemain petanque di seluruh Malaysia serta jemputan antarabangsa dengan pusingan pertama dan kedua akan menggunakan format Dua Kali Kalah Mati manakala pusingan seterusnya menggunakan format Kalah Mati.
Ujarnya, setiap permainan akan berlangsung selama satu jam dan satu end dengan undang-undang dan peraturan pertandingan berdasarkan standard FIPJP serta peraturan yang ditetapkan oleh pihak penganjur.
Saiful Bahari memberitahu, dua kategori dipertandingkan iaitu Beregu Terbuka dengan yuran penyertaan RM100 satu pasukan dan Beregu Wanita dengan yuran penyertaan RM80 satu pasukan.
Katanya, kejohanan tersebut masih lagi menerima penyertaan daripada pasukan petanque yang masih berminat sebelum ia ditutup pada keesokan hari pada 5 petang.
Menurutnya lagi, pasukan kali ini dihadkan sebanyak 120 pasukan lelaki terbuka dan 80 pasukan wanita terbuka.
Orang ramai khususnya warga Kuching dan penduduk sekitar Santubong turut dialu-alukan hadir menyaksikan aksi pemain-pemain petanque sepanjang kejohanan berlangsung.
Hadir sama, Setiausaha Kelab LANDAS Muhammad Nurul Firdaus Ali, Wakil PSPBK Jefri Nawi, Pengurus Besar Lea Sports Centre (LSC) Alice Kho dan Presiden Kelab Laksamana Khairul Hisyam Abdullah. -EDISI UKAS