Kapasiti Tempat Menunggu SMK Lutong Ditingkatkan, Manfaat 2,400 Pelajar
MIRI: Masalah kesesakan ruang menunggu dan pendedahan kepada hujan serta panas terik selepas waktu persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong ditangani menerusi projek naik taraf kemudahan bernilai RM150,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Projek yang siap pada 21 September lalu itu meningkatkan kapasiti tempat menunggu daripada kira-kira 300 kepada 500 pelajar, sekali gus menyediakan ruang lebih luas untuk menampung keperluan warga sekolah yang mempunyai kira-kira 2,400 pelajar.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, berkata penambahbaikan itu penting bagi mengatasi kekurangan ruang, khususnya ketika waktu puncak apabila pelajar keluar secara serentak selepas tamat sesi persekolahan.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan ke tapak projek berkenaan sebelum menyerahkan kemudahan itu secara rasmi kepada pihak sekolah untuk digunakan, pada Rabu.
Kemudahan tersebut turut dilengkapi laluan pejalan kaki yang diperluas bagi melancarkan pergerakan pelajar serta meningkatkan keselesaan mereka ketika menunggu kenderaan.
Pengetua SMK Lutong, Wong Kung Kui, berkata kemudahan asal yang hanya mampu menampung kira-kira 300 pelajar tidak mencukupi, terutama ketika hujan apabila sebahagian besar pelajar terpaksa menunggu dalam ruang yang terhad.
Menurutnya, kerja-kerja pelebaran yang telah siap meningkatkan kapasiti tempat menunggu kepada kira-kira 500 pelajar, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan dan memberi keselesaan kepada pelajar.
Beliau turut menjelaskan bahawa keadaan lebih mencabar apabila sesi petang berakhir sekitar jam 6 petang, dengan kira-kira 700 pelajar keluar pada masa yang sama sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di hadapan pintu masuk sekolah.
Projek berkenaan merangkumi pembinaan tambahan kira-kira 280 meter laluan pejalan kaki, pelebaran laluan konkrit bertetulang sepanjang 53 meter serta penambahbaikan struktur bumbung seluas kira-kira 193.5 meter persegi.
Kerja-kerja turut melibatkan pemasangan bumbung baharu, pengecatan semula tiang, pembinaan longkang dan kira-kira 30 meter saliran kotak konkrit bertetulang bagi menambah baik sistem saliran di kawasan hadapan sekolah.
Turut serta dalam tinjauan itu ialah pegawai khas beliau, Chia Kah Furng, Ahli Majlis Bandaraya Miri, Kaunselor Leslie Lau serta pegawai Jabatan Kejuruteraan, Majlis Bandaraya Miri.-EDISI UKAS