KUCHING: Festival Kraf Borneo sempena penganjuran Sarawak Regatta dan Festival Perahu Naga Antarabangsa Sarawak (BSIDBF) 2026 menyasarkan jualan sebanyak RM3 juta, meningkat daripada RM2.4 juta yang direkodkan pada tahun lalu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kemudahan khemah berhawa dingin yang disediakan bagi Festival Kraf Borneo dijangka meningkatkan keselesaan pengunjung sekali gus menyokong pertumbuhan jualan.
“Tahun sebelum itu RM1.7 juta sahaja untuk kraf, tahun lepas ia mencapai RM2.4 juta. Jadi saya percaya tahun ini sasaran RM3 juta dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Sarawak Regatta dan Festival Perahu Naga Antarabangsa Sarawak 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, pada Khamis.
Selain aktiviti jualan kraf, penganjuran festival tahun ini turut dijangka menerima kehadiran peserta antarabangsa menerusi BSIDBF edisi ke-12 yang melibatkan 80 pasukan dengan kira-kira 2,450 pendayung dari 23 negara.
Antara negara dan wilayah yang mengambil bahagian ialah Abu Dhabi, Australia, Brunei, China, Taiwan, Cyprus, Dubai, Thailand, Filipina, Georgia, Hong Kong, Indonesia, Ireland, Jepun, Kazakhstan, Myanmar, Qatar, Singapura, Liechtenstein, Vietnam, Kemboja, Argentina, Fiji, Moldova dan Mexico.
Malaysia turut menghantar penyertaan dari Kuching dan bahagian lain di Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur serta Putrajaya, termasuk pasukan dari Pejabat Perdana Menteri.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, penyertaan antarabangsa itu turut memberi peluang kepada Sarawak memperkenalkan keunikan negeri ini kepada pengunjung dari luar negara.
“Hanya untuk International Dragon Boat sahaja, jumlah peserta luar negara melebihi 2,400 orang. Mereka akan membawa balik ingatan yang sangat baik tentang Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, jumlah keseluruhan hadiah wang tunai bagi kedua-dua acara turut ditingkatkan kepada RM578,000, merangkumi RM200,000 bagi BSIDBF dan RM378,000 bagi Sarawak Regatta.
Bagi Sarawak Regatta, gelaran Raja Sungai kategori tempatan menawarkan hadiah wang tunai RM30,000 selain piala pusingan.
Sementara itu, Sarawak Regatta 2026 turut menerima sumbangan penajaan berjumlah RM985,000 daripada lapan syarikat serta tiga penaja bersama bagi menyokong penganjuran acara berkenaan.
Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) masing-masing menyumbang RM300,000, manakala Sarawak Energy Berhad (SEB) menyumbang RM100,000.
Lima lagi syarikat yang menyumbang masing-masing RM50,000 ialah ENEOS Xplora Malaysia Limited, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Petro Energy Berhad, Sarawak Plantation Berhad dan Ta Ann Holdings Berhad.
Sumbangan penaja bersama pula melibatkan SARAWORKS Sdn. Bhd. sebanyak RM20,000, KTS Mutual Sdn. Bhd. RM10,000 dan Borneo Housing Mortgage Finance Berhad RM5,000.
Dato Sri Abdul Karim turut mengingatkan semua peserta supaya mematuhi syarat keselamatan, termasuk penggunaan jaket keselamatan yang diwajibkan sepanjang pertandingan.Kegagalan mematuhi syarat itu boleh menyebabkan penyertaan dibatalkan.
Sarawak Regatta akan berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November 2026, manakala BSIDBF dijadualkan pada 23 hingga 25 Oktober 2026.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Morshidi Federick, serta Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi.-EDISI UKAS