Kebajikan 560 Peserta FELCRA Tamang Sembawang 1 Terus Diberi Perhatian
LUNDU: Kebajikan seramai 560 peserta Projek FELCRA Berhad Tamang Sembawang 1 terus diberi perhatian, khususnya membabitkan isu geran tanah, pembayaran dividen serta perancangan penanaman semula kelapa sawit bagi menjamin kelangsungan ekonomi peserta.
Perkara itu antara yang diberi perhatian pada Mesyuarat Agung FELCRA Berhad Tamang Sembawang 1 Kali Ke-10 bagi sesi 2026-2028 yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang di Dewan Mahligai Gading Lundu, pada Rabu lalu.
Projek yang melibatkan kawasan seluas 547.44 hektar itu mula beroperasi pada 1999 sebelum aktiviti penanaman dimulakan pada 2000, melibatkan peserta dari beberapa kampung termasuk Sebigo, Sebandi Hulu, Sebandi Hilir, Stunggang Melayu, Stunggang Melayu Baru, Seketi, Sileng Dayak, Sileng Melayu dan Pandan.
Dalam ucapannya, Billy menegaskan pembayaran serta kebajikan peserta perlu sentiasa diberi perhatian pihak pengurusan, selain memastikan setiap urusan berkaitan kepentingan peserta dilaksanakan secara telus, berintegriti dan tersusun.
Beliau turut menyentuh kegusaran peserta berhubung isu geran tanah yang masih belum diselesaikan selepas lebih dua dekad, dan mencadangkan supaya perkara itu diurus secara bersama oleh Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Peserta (AJKKP), peserta serta agensi berkaitan.
Menurutnya, usaha mendapatkan penyelesaian berhubung isu geran tanah perlu diteruskan menerusi rundingan dengan pihak berkuasa berkaitan, manakala wakil rakyat bersedia membantu membawa perkara tersebut untuk perhatian lanjut.
Susulan itu, satu mesyuarat bersama pihak FELCRA dirancang pada 6 Oktober 2026 di Kuching bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan kepentingan peserta termasuk tuntutan geran tanah, levi dan pembayaran dividen.
Sementara itu, Pengarah Negeri FELCRA Berhad Sarawak, Zulkifli Sulong berkata tanaman kelapa sawit di kawasan berkenaan telah mencapai tempoh yang sesuai untuk melalui proses penanaman semula berikutan prestasi hasil yang semakin menurun.
Beliau berkata perancangan penanaman semula turut diberi perhatian menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), selain terdapat bantuan geran sebanyak RM11,000 sehektar.
Selain itu, beberapa bentuk sokongan turut disediakan termasuk bantuan kewangan dan geran bagi aktiviti perniagaan, bantuan berkaitan bencana serta bantuan kemasukan ke universiti awam kepada anak-anak peserta yang memenuhi syarat.
Dalam usaha memastikan sektor perladangan terus relevan kepada generasi baharu, FELCRA juga mahu menarik minat anak-anak peserta untuk terlibat dalam industri berkenaan menerusi penggunaan mesin dan teknologi lebih moden serta meningkatkan penglibatan penduduk tempatan.
Hadir sama Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail, Pengarah Negeri FELCRA Berhad Sarawak, Zulkifli Sulong, Ketua Peserta Projek Tamang Sembawang 1, Ali Seman Ibrahim, Pengurus Ladang Tamang Sembawang 1, Azlan Hazmy Muzakir serta para peserta FELCRA.-EDISI UKAS